Secara umumnya terdapat berbagai-bagai cara dan jenis
penulisan para fuqaha dalam bidang Ilmu fiqh ini.Ianya dapat dibahagikan kepada
beberapa jenis penulisan seperti dibawah :
1. Matan
2. Syarh
3. Hasyiah
Mari kita lihat satu persatu apakah maksud ketiga-tiga
jenis penulisan tersebut.
Matan
:
Matan adalah kitab yang ditulis secara ringkas.Penulis
hanya memuatkan fakta-fakta penting tanpa memasukkan sebarang penerangan yang
panjang dan terperinci terhadap sesuatu permasalahan dalam fiqh.Penulis kitab jenis
ini kebiasaannya akan menggunakan istilah-istilah yang dianggap tepat dan
menyeluruh.
Kitab-kitab jenis ini agak sukar untuk dibaca
sekiranya tidak terdapat ulasan atau syarah dari mana-mana ulama atau fuqaha
yang menerangkan maksud dan makna pada setiap baris matan yang ditulis dalam
kitab-kitab tersebut
Apa yang perlu diketahui juga ialah , kadang-kadang matan ditulis oleh para fuqaha sebagai ringkasan yang dibuat dari kitab lain yang dikenali sebagai mukhtasar.Seperti kitab al-Muharrar karangan Imam al-Rafi’iyy yang diringkaskan dari kita al-Wajiz karangan Imam al-Ghazali.Malah terdapat juga mukhtasar yang dibuat terhadap kitab mukhtasar yang seperti kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam Nawawiyang meringkaskan kitab al-Muharrar.
Antara bentuk penulisan kitab jenis ini juga ialah
ianya ditulis dalam bentuk nazam atau syair yang bertujuan untuk memudahkan
para pembaca atau pelajar menghafal setiap baris matan yang tertulis.Sebab itu
lah kitab jenis ini jarang digunakan sebagai rujukan melainkan oleh orang yang
telah pun terlebih dulu mempelajarinya atau dirujuk bersama-sama dengan kitab
lain.
Contoh beberapa buah kitab Ilmu Fiqh yang ditulis
dengan cara penulisan jenis ini ialah :
a. Bidayat al-Mubtadi’ oleh al-Marghinaniyy ( ulama
mazhab hanafi )
b. Matn atau Mukhtasar Khalil , karangan Syaikh
Khalil Ibn Ishaq ( Ulama mazhab Maliki )
c. Al-Ghayah wa al-taqrib oleh Abu Syuja’ ( ulama
mazhab Syafie )
d. Mukhtasar al-Khiraqiyy karangan Abu Al-Qasim
Umar Ibn Al-hasan al-Khirraqiy ( ulama mazhab hanbali)
Syarh
:
Kitab jenis ini adalah kitab yang ditulis untuk
mengulas dan mensyarahkan matan atau mukhtasar.Penulis kitab ini akan mengulas
setiap istilah dan kenyataan yang sukar atau kabur pemahamannya.Ulasan juga
dibuat terhadap pandangan dan ijtihad ulama lain terhadap sesuatu masalah yang
diperbahaskan.Penulis kitab ini juga kebiasaannya tidak melakukan pentarjihan
terhadap pendapat atau pandangan ulama-ulama yang mengarang kitab tersebut.
Pengulas atau pen’syarah’ akan mengulas atau
mensyarahkan matan atau mukhtasar yang dihasilkannya sendiri atau pun dari
penulisan-penulisan orang lain.Malah terdapat juga Syarh yang mengulas kitab
syarh yang lain , seperti kitab Syarh Fathul Qadir karangan Ibnu al-Humam yang
mengulas kitab al-Hidayat karangan al-Marghinaaniyy.Kitab al-Hidayah pula
adalah sebuah kitab syarh yang mengulas kitab Bidayat al-Mubtadi’ karangan
al-Marghinaaniyy sendiri.
Apa yang jelas , kitab jenis ini kebiasaannya
mempunyai jumlah halaman yang banyak.Ini kerana kebanyakan dari ulama / fuqaha
yang menulis dengan metod jenis ini akan menyelitkan atau membawa
berbagai-bagai perbahasan hukum-hakam furu’ dalam fiqh untuk dijadikan contoh
pada sesuatu permasalahan yang ingin dibahas atau disyarahkan.
Penulis atau pengulas kitab jenis ini juga biasanya
mempunyai hubungan dengan penulis kitab asal yang diulasnya , samada sebagai
anak murid kepada pengarang kitab asal atau sekurang-kurangnya sebagai pengikut
mazhabnya.Sebab itulah kita dapati , jarang sekali terdapat dari kalangan
pengulas / pen ‘syarah’ tersebut yang menyanggahi atau menolak pandangan
penulis kitab asal yang mereka syarah / ulaskan.
Contoh-contoh kitab jenis ini pula ialah seperti :
a. Bada’ie al-Sana’ie oleh Abu Bakr Ibn Mas’ud Ibn
Ahmad al-Kasaniyy.Salah seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab ini adalah
ulasan kepada kitab Tuhfah al-Fuqaha yang dikarang oleh al-Samarqandiyy.
b. Mughni al-Muhtaj oleh Muhammad Ibn Ahmad
al-Syarbiniyy al-Khatib.Seorang ulama mazhab Syafie yang mengulas atau
mensyarahkan kitab Minhaj al-Tholibin yang diikarang oleh al-Imam an-Nawawi.
c. Al-Syarh al-Kabir karangan Muhammad Ibn Abdillah
al-Kharashiyy.Seorang ulama mazhab Maliki.Kitab ini adalah ulasan atau
kitab syarah bagi kitab Mukhtasar Khalil yang dikarang oleh Khalil Ibn Ishaq.
d. Kasyaf al-Qina karangan Mansur Ibn yusuf Ibn
Idris al-Buhutiyy yang merupakan salah seorang ulama Mazhab Hanbali.Kitab
ini pula adalah ulasan kepada kitab al-Iqna’ karangan Musa Ibn Ahmad
al-Maqdasiyy.
Hasyiah :
Kitab jenis ini pula adalah penulisan kitab fiqh yang
berbantuk Ta’liq (komentar) atau Mulahazhat (catatan) yang dilakukan terhadap
sesuatu syarh.Bentuknya hampir sama dengan bentuk penulisan secara atau jenis
syarh , tetapi bezanya penulis kitab jenis Hasyiah ini hanya akan memilih
perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tertentu dalam kitab syarh untuk diulas
dengan komentar-komentar atau catatan yang tertentu.
Antara kitab-kitab yang ditulis dengan jenis penulisan
hasyiah ialah :
a. Hasyiah Ibn ‘Abidin atau disebut juga Rad
al-Mukhtar yang ditulis oleh Muhammad Amin Ibn Umar atau lebih dikenali
dengan panggilan Ibn ‘Abidin.Seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab hasyiah ini
adalah komentar kepada kitab al-Dur al-Mukhtar yang dikarang oleh
al-Haskafiyy.Kitab ini juga merupakan kitab hasyiah yang agak panjang sehingga
menyerupai kitab syarh.
b. Hasyiah al-Syarqawiyy yang dikarang oleh
Abdullah Ibn Hijaziyy Ibn Ibrahim al-Syarqawiyy , seorang ulama mazhab
Syafie.Kitab ini merupakan kitab hasyiah kepada kitab Syarh al-Tahrir karangan
Zakaria ibn Muhammad al-Ansariyy.
Selain daripada jenis-jenis atau bentuk penulisan
seperti di atas , terdapat juga bentuk-bentuk lain dalam penulisan kitab-kitab
fiqh seperti , penulisan kitab fiqh mengikut mazhab , bentuk penulisan secara
muqarran (perbandingan) , bentuk ayat dan hadith hukum , bentuk fatwa , usul,
qawa’id dan sebagainya.
Semoga dengan kita mempelajari dan mengetahui kaedah
dan bentuk penulisan kitab-kitab fiqh ini akan dapat memudahkan kita untuk
memahami ilmu fiqh islam dengan lebih mudah dan sempurna.
Category ›
Hasyiah
,
Ilmu Fiqih
,
Macam-macam Kitab Fiqih
,
Matan
,
Metode Penulisan Kitab
,
Penulisan Kitab Fiqih
,
Syarah
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Assalaamualaikum
Bila berkenan tinggalkanlah komentar di blog ini, supaya kami bisa mengnang para pengunjung setia Blog ini
Cara berkomentar bagi yang belum memiliki blog:
1. Klik select profile -->> pilih Name/URL.
2. Isi nama Anda dan isi URL dengan alamat Facebook Anda/ kosongkan saja.
3. Klik Lanjutkan.
4. Ketik komentar anda dan klik PUBLISH.
6. Komentar yang kurang sopan,Spam/SARA otomatis akan kami hapus.
Terimakasih atas kunjungan Anda.
♫♪(¯`'•.¸(¯`'•.¸**¸.•'´¯)¸.•'´ ¯)♫♪