Penulisan Kitab Fiqih, Matan, Syarah, Hasyiah

Unknown Kamis, 11 April 2013
Secara umumnya terdapat berbagai-bagai cara dan jenis penulisan para fuqaha dalam bidang Ilmu fiqh ini.Ianya dapat dibahagikan kepada beberapa jenis penulisan seperti dibawah :
1. Matan
2. Syarh
3. Hasyiah
Mari kita lihat satu persatu apakah maksud ketiga-tiga jenis penulisan tersebut.

Matan :

Matan adalah kitab yang ditulis secara ringkas.Penulis hanya memuatkan fakta-fakta penting tanpa memasukkan sebarang penerangan yang panjang dan terperinci terhadap sesuatu permasalahan dalam fiqh.Penulis kitab jenis ini kebiasaannya akan menggunakan istilah-istilah yang dianggap tepat dan menyeluruh.
Kitab-kitab jenis ini agak sukar untuk dibaca sekiranya tidak terdapat ulasan atau syarah dari mana-mana ulama atau fuqaha yang menerangkan maksud dan makna pada setiap baris matan yang ditulis dalam kitab-kitab tersebut

Apa yang perlu diketahui juga ialah , kadang-kadang matan ditulis oleh para fuqaha sebagai ringkasan yang dibuat dari kitab lain yang dikenali sebagai mukhtasar.Seperti kitab al-Muharrar karangan Imam al-Rafi’iyy yang diringkaskan dari kita al-Wajiz karangan Imam al-Ghazali.Malah terdapat juga mukhtasar yang dibuat terhadap kitab mukhtasar yang seperti kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam Nawawiyang meringkaskan kitab al-Muharrar.

Antara bentuk penulisan kitab jenis ini juga ialah ianya ditulis dalam bentuk nazam atau syair yang bertujuan untuk memudahkan para pembaca atau pelajar menghafal setiap baris matan yang tertulis.Sebab itu lah kitab jenis ini jarang digunakan sebagai rujukan melainkan oleh orang yang telah pun terlebih dulu mempelajarinya atau dirujuk bersama-sama dengan kitab lain.
Contoh beberapa buah kitab Ilmu Fiqh yang ditulis dengan cara penulisan jenis ini ialah :

a. Bidayat al-Mubtadi’ oleh al-Marghinaniyy ( ulama mazhab hanafi )

b. Matn atau Mukhtasar Khalil , karangan Syaikh Khalil Ibn Ishaq ( Ulama mazhab Maliki )

c. Al-Ghayah wa al-taqrib oleh Abu Syuja’ ( ulama mazhab Syafie )

d. Mukhtasar al-Khiraqiyy karangan Abu Al-Qasim Umar Ibn Al-hasan al-Khirraqiy ( ulama mazhab hanbali)

Syarh :

Kitab jenis ini adalah kitab yang ditulis untuk mengulas dan mensyarahkan matan atau mukhtasar.Penulis kitab ini akan mengulas setiap istilah dan kenyataan yang sukar atau kabur pemahamannya.Ulasan juga dibuat terhadap pandangan dan ijtihad ulama lain terhadap sesuatu masalah yang diperbahaskan.Penulis kitab ini juga kebiasaannya tidak melakukan pentarjihan terhadap pendapat atau pandangan ulama-ulama yang mengarang kitab tersebut.

Pengulas atau pen’syarah’ akan mengulas atau mensyarahkan matan atau mukhtasar yang dihasilkannya sendiri atau pun dari penulisan-penulisan orang lain.Malah terdapat juga Syarh yang mengulas kitab syarh yang lain , seperti kitab Syarh Fathul Qadir karangan Ibnu al-Humam yang mengulas kitab al-Hidayat karangan al-Marghinaaniyy.Kitab ­al-Hidayah pula adalah sebuah kitab syarh yang mengulas kitab Bidayat al-Mubtadi’ karangan al-Marghinaaniyy sendiri.

Apa yang jelas , kitab jenis ini kebiasaannya mempunyai jumlah halaman yang banyak.Ini kerana kebanyakan dari ulama / fuqaha yang menulis dengan metod jenis ini akan menyelitkan atau membawa berbagai-bagai perbahasan hukum-hakam furu’ dalam fiqh untuk dijadikan contoh pada sesuatu permasalahan yang ingin dibahas atau disyarahkan.

Penulis atau pengulas kitab jenis ini juga biasanya mempunyai hubungan dengan penulis kitab asal yang diulasnya , samada sebagai anak murid kepada pengarang kitab asal atau sekurang-kurangnya sebagai pengikut mazhabnya.Sebab itulah kita dapati , jarang sekali terdapat dari kalangan pengulas / pen ‘syarah’ tersebut yang menyanggahi atau menolak pandangan penulis kitab asal yang mereka syarah / ulaskan.
Contoh-contoh kitab jenis ini pula ialah seperti :

a. Bada’ie al-Sana’ie oleh Abu Bakr Ibn Mas’ud Ibn Ahmad al-Kasaniyy.Salah seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab ini adalah ulasan kepada kitab Tuhfah al-Fuqaha yang dikarang oleh al-Samarqandiyy.

b. Mughni al-Muhtaj oleh Muhammad Ibn Ahmad al-Syarbiniyy al-Khatib.Seorang ulama mazhab Syafie yang mengulas atau mensyarahkan kitab Minhaj al-Tholibin yang diikarang oleh al-Imam an-Nawawi.

c. Al-Syarh al-Kabir karangan Muhammad Ibn Abdillah al-Kharashiyy.Seorang ulama mazhab Maliki.Kitab ini adalah ulasan atau kitab syarah bagi kitab Mukhtasar Khalil yang dikarang oleh Khalil Ibn Ishaq.

d. Kasyaf al-Qina karangan Mansur Ibn yusuf Ibn Idris al-Buhutiyy yang merupakan salah seorang ulama Mazhab Hanbali.Kitab ini pula adalah ulasan kepada kitab al-Iqna’ karangan Musa Ibn Ahmad al-Maqdasiyy.

Hasyiah :

Kitab jenis ini pula adalah penulisan kitab fiqh yang berbantuk Ta’liq (komentar) atau Mulahazhat (catatan) yang dilakukan terhadap sesuatu syarh.Bentuknya hampir sama dengan bentuk penulisan secara atau jenis syarh , tetapi bezanya penulis kitab jenis Hasyiah ini hanya akan memilih perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tertentu dalam kitab syarh untuk diulas dengan komentar-komentar atau catatan yang tertentu.
Antara kitab-kitab yang ditulis dengan jenis penulisan hasyiah ialah :

a. Hasyiah Ibn ‘Abidin atau disebut juga Rad al-Mukhtar yang ditulis oleh Muhammad Amin Ibn Umar atau lebih dikenali dengan panggilan Ibn ‘Abidin.Seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab hasyiah ini adalah komentar kepada kitab al-Dur al-Mukhtar yang dikarang oleh al-Haskafiyy.Kitab ini juga merupakan kitab hasyiah yang agak panjang sehingga menyerupai kitab syarh.

b. Hasyiah al-Syarqawiyy yang dikarang oleh Abdullah Ibn Hijaziyy Ibn Ibrahim al-Syarqawiyy , seorang ulama mazhab Syafie.Kitab ini merupakan kitab hasyiah kepada kitab Syarh al-Tahrir karangan Zakaria ibn Muhammad al-Ansariyy.
Selain daripada jenis-jenis atau bentuk penulisan seperti di atas , terdapat juga bentuk-bentuk lain dalam penulisan kitab-kitab fiqh seperti , penulisan kitab fiqh mengikut mazhab , bentuk penulisan secara muqarran (perbandingan) , bentuk ayat dan hadith hukum , bentuk fatwa , usul, qawa’id dan sebagainya.
Semoga dengan kita mempelajari dan mengetahui kaedah dan bentuk penulisan kitab-kitab fiqh ini akan dapat memudahkan kita untuk memahami ilmu fiqh islam dengan lebih mudah dan sempurna.
Blogger Template by BlogTusts Sticky Widget by Kang Is Published by GBT.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Assalaamualaikum
Bila berkenan tinggalkanlah komentar di blog ini, supaya kami bisa mengnang para pengunjung setia Blog ini

Cara berkomentar bagi yang belum memiliki blog:

1. Klik select profile -->> pilih Name/URL.
2. Isi nama Anda dan isi URL dengan alamat Facebook Anda/ kosongkan saja.
3. Klik Lanjutkan.
4. Ketik komentar anda dan klik PUBLISH.
6. Komentar yang kurang sopan,Spam/SARA otomatis akan kami hapus.

Terimakasih atas kunjungan Anda.
♫♪(¯`'•.¸(¯`'•.¸**¸.•'´¯)¸.•'´ ¯)♫♪